Info Kumpulan Prihatin

KUMPULAN PRIHATIN terdiri daripada sekumpulan tokoh-tokoh bahasa, ilmuan, ahli akademik, tokoh agama, budayawan dan sasterawan dan beberapa NGO yang prihatin terhadap isu-isu berhubung dengan masa depan bangsa, agama dan negara khususnya dalam isu-isu bahasa, budaya dan pendidikan bangsa Melayu. Antara program besar yang pernah dijalankan ialah Persidangan Agenda Melayu & Perpaduan Kebangsaan 2001, Perhimpunan Agenda Melayu 2004 yang membawa kepada pengwujudan slogan “Berpakatlah” antara Parti-parti Melayu dan Islam ketika itu bagi melahirkan masyarakat yang harmoni. Kumpulan ini juga turut memperjuangkan isu bahasa, pendidikan dan sosial orang Melayu dan Islam.

Bahan Penerbitan Prihatin

prihatin

Statistik

Members : 3
Content : 298
Web Links : 17
Content View Hits : 168391

Pelawat

We have 18 guests online
Kenyataan Media Persatuan Linguistik Malaysia 15 Ogos 2009 PDF Print E-mail
Kenyataan Media Kumpulan Prihatin
Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) telah dan sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas keberanian YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin menghapuskan PPSMI. Sesungguhnya perjuangan PLM dalam usaha memastikan bahasa Melayu didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan tidak pernah putus. Perjuangan PLM adalah berdasarkan kepada pertimbangan akademik, teoritis, perlembagaan dan kepentingan rakyat terbanyak. PLM bergerak atas fakta, bukti dan bukannya emosi semata-mata.

Namun demikian PLM tetap merasakan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu harus disegerakan pada tahun hadapan terutama kepada anak-anak yang bakal masuk pada tahun 1 dan tingkatan 1. PLM berasa amat kesal sekiranya perkara yang tidak terlalu sukar ini “disusah-susahkan” atau dilengah-lengahkan.  Peralihan kepada bahasa Melayu, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara ini tidak sama seperti peralihan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu seperti pada awal tahun tujuh puluhan dahulu atau seperti beralih daripada bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris.  Pada umumnya bahasa Melayu merupakan bahasa pertuturan yang difahami oleh oleh semua anak-anak dan pelajar (tanpa kecuali) di negara ini berbanding bahasa Inggeris. Melengah-lengahkan usaha yang “mudah” ini bermakna menambahkan lagi jumlah pelajar “mangsa” PPSMI yang diakui sudah menjangkau angka 3 juta orang (walaupun pada hakikatnya mangsa PPSMI ialah tamadun dan bahasa Melayu  itu sendiri). Kata-kata ini jelas menggambarkan iaitu “justice delayed is justice denied” atau keadilan yang ditangguhkan merupakan keadilan yang dinafikan.  Sebenarnya jika diteliti pelajar  akan memulakan alam persekolahan dengan bahasa pengantar bahasa kebangsaan tanpa banyak masalah. Buktinya:

i) PPSMI  secara realitinya selama ini memang diajar oleh para guru dengan  menggunakan Bahasa Melayu secara meluas atau bercampur-campur (demi kepentingan pemahaman  pelajar) oleh para guru dan pensyarah memandangkan soalan dwibahasa dibekalkan dalam soalan peperiksaan sejak mula dilaksanakan sehingga tahun lepas. Banyak sekolah memilih untuk mengajar dalam Bahasa Melayu.

ii) Buku teks sebelum tahun 2003 sebelum PPSMI dilaksanakan masih boleh dipakai dan dicetak. Penyediaan buku teks dalam dunia digital akan mengambil yang sangat singkat. Secara tidak langsung ini  akan memberi peluang pekerjaan kepada pengilang dan pengeluar buku teks. Malah Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) telah menyatakan kesediaan menterjemah bahan yang diperlukan dengan lebih cepat.

iii) Guru yang terlatih dalam Bahasa Melayu memang telah sedia ada, jadi tiada masalah tentang guru.  Malah guru yang mengajar sains dan matematik pada masa inilah juga yang mengajar mata pelajaran yang sama semasa menggunakan Bahasa Melayu dahulu dan mengikuti pengajian berkaitan juga dalam Bahasa Melayu di universiti.

iv) Mengajar semula  dalam Bahasa Melayu menjadi sangat mudah kerana persekitaran pelajar memang membantu pembelajaran tersebut berbanding jika beralih ke dalam bahasa Inggeris.  Bahasa Melayu khususnya ialah bahasa basahan di rumah mereka, bahasa sehari-hari,  bahasa yang difahami oleh seluruh rakyat Malaysia pelbagai bangsa, suku kaum dan keturunan dan bukannya suatu bahasa yang aneh atau asing bagi warganegara ini.

3. Seterusnya PPSMI perlu dimansuhkan sepenuhnya dalam sistem pendidikan di Malaysia termasuk Tingkatan 6 dan Matrikulasi. Tiada sebab untuk pengecualian hanya bagi tingkatan 6 dan matrikulasi kerana sekurang-kurangnya selama kira-kira 20 tahun (1983 hingga 2003) bahasa Melayu telahpun digunakan dalam semua mata pelajaran termasuk sains, matematik dan teknologi bukan sahaja di sekolah rendah dan menengah malah sehingga di peringkat universiti dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pergigian, kejuruteraan dan sebagainya tanpa menghadapi sebarang masalah besar walaupun buku rujukan dalam bahasa Inggeris tetap banyak di samping rujukan berbahasa Melayu sendiri.  Malah apabila semuanya sudah berbahasa Melayu sehingga tingkatan 5 nanti, janganlah pada ketika itu baru disedari bahawa beberapa masalah akan timbul dan kita baru terkial-kial untuk mengubah dan sebagainya.  Kita perlu proaktif dari sekarang dengan menghormati “kedaulatan undang-undang” dan “keluhuran Perlembagaan” dengan menjadikan undang-undang dan Perlembagaan Negara tersebut sebagai pegangan di samping menyedari akan hakikat bahawa dasar bahasa negara ini yang sepatutnya menjadikan bahasa kebangsaan sebagai teras kepada tamadun dan kemajuan negara bangsa ini dan bukannya menggunakan bahasa negara lain untuk berperanan lebih daripada yang sepatutnya.

4. Jika bahasa Inggeris diwajibkan kelulusannya dalam SPM, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia perlu diwajibkan lulus peringkat kepujian bagi mendapat sijil SPM.


5. Istilah bahasa Melayu adalah istilah yang paling tepat dan benar di sisi Perlembagaan, undang-undang dan secara akademik.  Sebarang rasa tidak senang untuk tidak menggunakan istilah yang tepat dan benar tersebut dapat menggambarkan perasaan negatif terhadap bahasa Melayu yang amat tidak wajar kerana semua warganegara satu Malaysia perlu menerima hakikat ini dan tidak ada mana-mana bahasa pun yang wajar ditukar namanya terlebih dahulu sebelum dipelajari oleh mana-mana pihak.

Kedaulatan bahasa Melayu dalam erti kata yang sebenar-benarnya perlu dipertahankan sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di negara Malaysia yang satu-satunya ini tanpa berbelah bahagi.  Bahasa Melayu hanya akan benar-benar bermartabat  jika digunakan dalam semua bidang pengajian di negara ini seperti sebelum tahun 2003 dahulu.


PROF. DR. NOR HASHIMAH JALALUDDIN
Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia.

012-3115636