|
Kertas Kerja Wacana Bulanan Kumpulan Prihatin
|
|
Pengubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu Nik Anuar Nik Mahmud (Universiti Kebangsaan Malaysia) Kertas kerja ini dibentang sewaktu Wacana Bulanan Kumpulan Prihatin pada 12 Julai 2008, bertempat di Shah’s Village Hotel. Anjuran Kumpulan Prihatin
Pada 31 Ogos 2007 genaplah 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan setelah dijajah oleh kuasa-kuasa penjajah silih berganti sejak 1511. Dalam tempoh itu penjajah British yang paling lama menjajah negeri-negeri Melayu. Usaha untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan British bermula pada tahun-tahun 1930an apabila Kesatuan Melayu Muda dibentuk oleh Ibrahim Hj. Yaacob dan rakan-rakannya. Selepas Perang Dunia Kedua, perjuangan ke arah kemerdekaan semakin rancak. Setelah memenangi majoriti besar dalam pilihanraya Persekutuan pada 1955, Perikatan UMNO-MCA-MIC telah mengadakan rundingan dengan kerajaan British mengenai Tanah Melayu. Rombongan Perikatan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman dan wakil-wakil Raja-raja Melayu telah mengadakan rundingan dengan Kerajaan British pada 18 Januari 1956. Perikatan dan kerajaan British telah bersetuju untuk mengisytiharkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Bersesuaian dengan persetujuan itu sebuah Suruhanjaya Bebas akan dibentuk bagi menggubal Perlembagaan Tanah Melayu Merdeka. PERGUBALAN PERLEMBAGAAN Pada 8 Mac 1956 kerajaan British, selepas mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu, telah mengumumkan pembentukan sebuah Suruhanjaya bebas bagi mengkaji bentuk perlembagaan bagi Tanah Melayu yang merdeka dalam komonwel yang mengandungi lima orang anggota yang terdiri dari Lord Reid sebagai pengerusinya Ivor Jennings, Sir William McKell, B. Malik dan Hakim Abdul Hamid. |