|
MEREALISASIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA DUNIA MELALUI JARINGAN KERJASAMA YANG TERANCANG DAN BERKESAN
Prof. Dr. Awang Sariyan Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Beijing Foreign Studies University
[Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Bahasa Melayu Bahasa Dunia, anjuran Kerajaan Negeri Johor, Fakulti Bahasa,Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, di PERSADA, Johor Bahru, pada 28-30 September 2009]
PENDAHULUAN Bahasa Melayu pernah menjadi bahasa antarabangsa, khususnya dalam zaman bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-15 dan beberapa abad berikutnya. Pada masa ini bahasa Melayu belum sampai ke tahap bahasa antarabangsa yang dominan sebagaimana halnya dengan bahasa Inggeris yang telah menjadi bahasa ibunda atau bahasa pertama lebih 45% penduduk 10 buah negara di dunia seperti United Kingdom, Ireland, Australia, New Zealand, Barbados, Jamaica, Trinidad, Amerika Syarikat, Kanada dan Guyana (Fishman et al., 1977), menjadi bahasa rasmi atau bahasa kedua di Botswana, Cameroon, Fiji, Gambia, Ghana, India, Lesotho, Liberia, Malawai, Malta, Mauritius, Namibia, Nauru, Nigeria, Filipina, Zimbabwe, Sierra Leone, Singapura, Afrika Selatan, Swaziland, Tanzania, Tonga, Uganda, Saomoa Barat dan Zambia (Richards, 1991). Dengan kedudukannya sebagai bahasa dunia yang dominan dan kini dipercayai antara bahasa dunia yang berperanan besar dalam proses globalisasi, perbincangan tentang pengajaran bahasa Inggeris kepada penutur asing menjadi tema yang mendapat perhatian besar sehingga perbincangan tentang pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mungkin dianggap oleh sesetengah orang sebagai kurang relevan.
|