Artikel Pilihan
- Usah rendahkan martabat SK - Prof. Dr. Rosnani Hashim (1 Disember 2009)
- MELAYU-ISLAM DI MANA KITA? - Baha Zain (28 November 2009)
- KELAKAR KEJAM DARI SELATAN - Baha Zain (16 November 2009)
- Serlahkan Kecintaan terhadap Bahasa Kebangsaan dengan Menggunakan Istilah Bahasa Melayu - Mohd Isa Abd Razak (25 November 2009)
- Peranan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan – Tan Sri Muhyiddin
- Benarkah Bahasa Melayu Teras Bahasa Kebangsaan? - Mohd Isa Abd Razak (26 November 2009)
- Hargai Sumbangan Dan Kekayaan Sumber Intelektual Islam
| MEREALISASIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA DUNIA MELALUI JARINGAN KERJASAMA YANG TERANCANG DAN BERKESAN - Prof. Dr. Awang Sariyan |
|
|
|
| Ole-Ole Dari Beijing |
|
MEREALISASIKAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA DUNIA MELALUI JARINGAN KERJASAMA YANG TERANCANG DAN BERKESAN
PENDAHULUAN Namun bahasa Melayu mempunyai kedudukannya sendiri dalam perkembangan bahasa-bahasa utama dunia sehingga memang ada keperluan pengajarannya kepada penutur asing meskipun tidak seluas keperluan pengajaran bahasa Inggeris. Fakta mutakhir yang cukup memberangsangkan ialah pernyataan tentang perkembangan dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa dunia yang dominan, antaranya seperti pernyataan David Graddol, Pengarah The English Company (UK) Ltd dalam jurnal The Future of Language (27 Februari 2004) bahawa bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang amat pesat berkembang. Perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa akan dibincangkan dalam bahagian selanjutnya. Yang penting ialah bahawa atas dasar adanya keperluan bahasa Melayu diajarkan kepada dan dipelajari oleh penutur asing itu, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memenuhi keperluan tersebut.
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ANTARABANGSA DAN UPAYA PENGANTARABANGSAANNYA
Oleh itu semangat pengantarabangsaan bahasa Melayu yang kita bincangkan kini sebenarnya merupakan kesinambungan suatu sejarah gemilang bahasa Melayu yang telah terbina. Bukan dengan seminar ini kita baru mula bergerak mengantarabangsakan bahasa Melayu. Upaya kita kini sebenarnya lebih merupakan salah satu upaya meningkatkan “taraf antarabangsa” yang telah dicapai oleh bahasa Melayu, sesuai dengan perkembangan zaman. Hal ini selaras dengan kenyataan bahawa keantarabangsaan bahasa Melayu kini jika dibandingkan dengan keantarabangsaannya pada zaman gemilang tamadun Melayu sebelum datangnya penjajah masih jauh daripada yang kita dambakan. Meskipun bahasa Melayu tersebar dan dipelajari di mana-mana bahagian di dunia ini, dan dengan demikian melayakkannya bertaraf antarabangsa, namun peranannya sebagai wahana kehidupan moden di kalangan masyarakat antarabangsa masih begitu samar. Bahasa Melayu dalam era ini belum dapat dilihat sebagai bahasa perdagangan, bahasa ekonomi, bahasa ilmu dan bahasa teknologi di peringkat antarabangsa.
Apabila Islam datang ke alam Melayu pada sekitar abad ke-12 atau ke-13 (malah sumber Aceh menyatakan bahawa Islam telah tiba di alam Melayu pada abad ke-8 lagi), bahasa Melayu mengalami interaksi dengan satu lagi bahasa antarabangsa, iaitu bahasa Arab dan di sisi itu juga bahasa Parsi. Kegiatan penerjemahan teks daripada bahasa Arab kepada bahasa Melayu telah berlangsung, seperti usaha ulama Melayu yang menerjemahkan Aqaid al-Nasafi (1590) yang dianggap oleh Al-Attas (1988) sebagai manuskrip tertua dalam bahasa Melayu. Dengan demikian, bahasa Melayu telah diantarabangsakan daripada sudut kandungan bahasa itu sendiri dan pada waktu yang sama daripada sudut peranannya juga, iaitu sebagai bahasa yang digunakan dalam ranah hubungan antarabangsa, khususnya sebagai bahasa diplomasi. Amatlah menarik halnya bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa penyebaran Islam yang ampuh, sehingga ulama dari luar alam Melayu, seperti Nuruddin al-Raniri yang berasal dari Gujerat berkarya dan mendakwahkan Islam dengan menggunakan bahasa Melayu – bukti bahawa ilmu lebih berkesan disampaikan dalam bahasa umat itu sendiri, selaras dengan sunatullah.
Sumbangan Islam sebagai agama sejagat telah sesungguhnya membantu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa, melalui penyerapan istilah-istilah dasar yang berkaitan dengan akidah dan ibadah – istilah sejagat yang digunakan oleh umat Islam lain di dunia. Demikian juga, dengan memperhitungkan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kedua terbesar sebagai bahasa Islam, sesudah bahasa Arab, tidak syak lagi bahawa bahasa Melayu telah mencapai darjat bahasa antarabangsa dalam dunia Islam.
Dalam ranah diplomasi, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa terlihat, misalnya pada surat Sultan Ternate, iaitu Sultan Abu Hayat kepada Raja Sepanyol pada tahun 1521 dan 1522 (Collins, 1998:18 dan 23), surat Sultan Aceh kepada kapitan Inggeris, James Lancester (1601), surat Sultan Alauddin Shah Aceh kepada Harry Middleton (1602) dan surat Sultan Aceh kepada raja Inggeris, King James (1612), kesemuanya dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi (Nik Safiah Karim et al., 1996). menjadi bukti keantarabangsaan bahasa Melayu. kepada Gabenor Sepanyol di Manila Malahan apabila UNESCO mengiktiraf surat-surat Sultan Kedah (dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi) kepada kerajaan Inggeris sebagai salah satu warisan dunia, jelas bahawa taraf keantarabangsaan bahasa Melayu dalam bidang diplomasi pada suatu waktu dahulu telah tercapai.
Bahasa Melayu memang telah sesungguhnya mendapat perhatian orang asing sebagai bahasa antarabangsa. Pegawai Kerajaan Cina daripada Dinasti Ming yang menjalin hubungan diplomatik dengan Kerajaan Melayu Melaka dari abad ke-15 hingga abad ke-16 telah menyusun daftar kata yang menggambarkan kosa kata bahasa Melayu yang perlu difahami oleh para diplomat China dalam urusan mereka di alam Melayu. Daftar kata yang mengandung kira-kira 500 kata masukan itu telah mula disusun jauh lebih awal daripada daftar kata Pigafeta (1522) kerana kosa kata yang terakam meliputi kosa kata sejak terjalinnya hubungan Kerajaan Cina dengan Kerajaan Melaka. Judul kamus itu dalam bahasa Cina ialah Man La Jia Guo Yi Yu atau Senarai Perkataan Negeri Melaka.
Kata-kata yang terhimpun di dalamnya dipercayai meliputi kosa kata dari zaman awal bermulanya hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melaka, iaitu pada tahun 1403 hingga tahun jatuhnya Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata Cina yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang, iaitu astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum. Setiap entri diberi padanan bahasa Melayunya dengan tulisan Cina. Kamus itu disusun untuk keperluan Kerajaan Cina dalam Dinasti Ming dalam menjalin hubungan dengan Melaka dan hingga akhir abad ke-16 kamus itu masih menjadi rujukan, termasuk dalam penyusunan buku sejarah Cina. Demikianlah, erat dan akrabnya hubungan antara dua tamadun turut meninggalkan dampak yang besar dan penting kepada bahasa juga, sebagaimana yang terbukti dengan meluasnya peranan bahasa Melayu.
Jika dalam zaman Sriwijaya memang telah ada perhatian pendeta Buddha China dalam mempelajari bahasa Melayu kuno, maka dalam dalam zaman Kesultanan Melayu bahasa Melayu bukan sahaja dipelajari oleh para pendeta agama, malahan menjadi bahasa yang dipelajari dan digunakan untuk urusan perdagangan dan kehidupan oleh orang China daripada golongan lain, khususnya pedagang. Yang lebih penting daripada itu ialah adanya “perhatian diraja” pada pihak Dinasti Ming apabila menubuhkan jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) untuk memenuhi kepentingan dan keperluan dalam hubungan luar. Tong Shi atau jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil (Xiao Tong Shi) berjumlah 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu, iaitu seorang untuk Melaka dan seorang untuk Sumatera.
Dalam hubungannya dengan tamadun Barat pula, usaha Antonio Pigafetta mengumpulkan kosa kata bahasa Melayu dalam daftara kata bahasa Itali – bahasa Melayu pada tahun 1522 menandai wujudnya keperluan orang Barat memahami bahasa Melayu untuk keperluan hubungan antarabangsa. Daftar kata itu kemudian diterbitkan juga dalam edisi Latin – Melayu dan Perancis – Melayu (Collins, 1998: 16-17). Dalam persuratan sejarah bahasa Melayu, telah terakam taraf keantarabangsaan bahasa Melayu, sebagaimana yng dirumuskan oleh Francois Valentijn tentang kedudukan bahasa Melayu pada abad ke-16:
“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di segala negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja difahami di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehingga Kepulauan Filipina.”
Gabenor Portugis di Moluku (1636-1539), Antonio Galvao menyamatarafkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu pada abad ke-16 dengan bahasa Latin di Eropah disebabkan peranan pentingnya sebagai bahasa ilmu, bahasa perdagangan, bahasa diplomasi, bahasa keagamaan dan juga sebagai bahasa rasmi istana yang merupakan institusi utama pemerintahan negara (Collins, 1998: 23 dan 25).
Perhatian orang Barat terhadap bahasa Melayu daripada sudut korpus bahasa Melayu pun cukup besar, sehingga seawal abad ke-17 telah terhasil sejumlah buku tatabahasa dan kamus seperti karya F. de Houtman (1603), Albert Ruyl (1611), Casper Wittens dan Sebastian Danckaerts (1623), David Haex (1631) dan lain-lain.
Interaksi bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa Barat kemudian, terutama bahasa Inggeris, telah memungkinkan bahasa Melayu menambah kekayaannya yang sedia ada, baik dalam bidang fonologi, kosa kata, sintaksis mahupun wacana. Bahasa Melayu telah mencapai tahap saling terjemah (inter-translatibality) yang tinggi dengan bahasa-bahasa moden yang lain.
Semangat dan upaya untuk mengantarabangsaan bahasa Melayu kini sebenarnya merupakan kesinambungan suatu sejarah gemilang bahasa Melayu yang telah terbina. Upaya kita kini sebenarnya lebih merupakan salah satu upaya meningkatkan “taraf antarabangsa” yang telah dicapai oleh bahasa Melayu, untuk memenuhi keperluan perkembangan zaman. Hal ini selaras dengan kenyataan bahawa keantarabangsaan bahasa Melayu kini jika dibandingkan dengan keantarabangsaannya pada zaman gemilang tamadun Melayu sebelum datangnya penjajah masih jauh daripada yang kita dambakan. Meskipun bahasa Melayu tersebar dan dipelajari di mana-mana bahagian di dunia ini, dan dengan demikian melayakkannya bertaraf antarabangsa, namun peranannya sebagai wahana kehidupan moden dalam kalangan masyarakat antarabangsa masih agak samar. Bahasa Melayu dalam era ini belum dapat dilihat sebagai bahasa perdagangan, bahasa ekonomi, bahasa ilmu dan bahasa teknologi di peringkat antarabangsa. Pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing mudah-mudahan dapat beransur-ansur meningkatkan peranan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Potensi besar bahasa Melayu yang menimbulkan keperluan perencanaan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing, sebagai salah satu usaha pengantarabangsaan bahasa dan persuratan Melayu pada zaman ini ialah wujudnya pusat-pusat pengajian di seluruh dunia yang mengajarkan bahasa Melayu (dengan pengertian bahasa Indonesia juga). Bahasa Melayu diajarkan dan diteliti di puluhan universiti di Eropah, di Australia, di New Zealand, dan di Amerika Utara, di samping diajarkan dan diteliti di rantau Asia Tenggara, Asia Timur, dan Asia Utara.
Di Eropah Barat, kajian tentang bahasa dan sastera Melayu-Indonesia telah mencapai tahap yang mapan, meskipun harapan banyak bergantung pada tokoh-tokoh tertentu. Kegiatan pengajaran-pemelajaran dan penelitian bahasa, sastera dan budaya Melayu dapat dikatakan meriah di benua tersebut, terutama di pusat-pusat tradisional pengajian Melayu seperti Leiden, London, dan Paris. Selain itu, terdapat juga pengajian Melayu di Itali. Di Jerman pula, sebagai kesan munculnya minat masyarakatnya terhadap Indonesia, lima buah universiti di negara tersebut mengajarkan bahasa Melayu-Indonesia. Kelima-limanya itu ialah Universiti Hamburg, Universiti Cologne, Universiti Bonn, Universiti Frankfurt, dan Universiti Passau. Di sisi itu, ada juga perhatian kepada Dunia Melayu, termasuk bahasa Melayu di Universiti Bochum, di Universiti Kassel, dan di Universiti Giesen. Di bahagian lain benua Eropah, khususnya di Portugal dan di Skandinavia tampak juga adanya minat terhadap bahasa Melayu.
Di Perancis, telah mula berkembang pengajaran bahasa dan sastera Melayu di Universiti La Rochelle. Sebagai hasil kerjasama yang terjalin dengan Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM), pelajar dari universiti itu telah dihantar ke DBP untuk program latihan industri. Terbaru, ada ura-ura pembukaan program pengajian Melayu di Institut Asia dan Afrika Tiblisi, Georgia (surat Prof. Dr. Guram Chikovani, Rektor TIAA kepada pemakalah, bertarikh 25 Oktober 2005).
Di Amerika Syarikat, universiti yang mula-mula mengadakan pengajaran dan penelitian bahasa Melayu-Indonesia ialah Universiti Yale dan Universiti Cornell. Sesudah itu pengajian bahasa Melayu-Indonesia dipergiat melalui Program Musim Panas yang kemudian merangkumkan pelibatan Universiti Hawaii dan Universiti California-Berkeley. Kini bahasa Melayu diajarkan juga di Universiti Wisconsin, Universiti Ohio, Universiti Michigan, Universiti Northern Illinois, dan Universiti Arizona (Ismail Hussein, 1995).
Di Australia, pengajaran dan penelitian bahasa Melayu terdapat di Universiti Sydney, di Universiti Melbourne, di Universiti Kebangsaan Australia, di Universiti La Trobe, dan di Universiti Monash. Di samping itu, bahasa Melayu diajarkan di Curtin University of Technology di Perth, di Universiti Australia Selatan, di Kampus Bendigo Universiti La Trobe, di Universiti Griffith, di Universiti James Cook, di Universiti Deakin, di Universiti Flinders, di Universiti Queensland Selatan, di Universiti Murdoch, di Universiti Tasmania, di Universiti Kolej Wilayah Utara, dan di Sekolah Bahasa-bahasa Angkatan Udara Diraja. Daripada maklumat yang saya peroleh ketika melaksanakan pengembangan bahasa Melayu di Australia, di Victoria sahaja, terdapat sejumlah 120,000 orang pelajar bahasa Melayu (khususnya variasi Indonesia) dari peringkat sekolah rendah hingga universiti (Awang Sariyan, 2004). Besarnya minat masyarakat Australia terhadap bahasa dan budaya Melayu walau bagaimanapun tidak pula menempiaskan minat yang sama besarnya kepada New Zealand sebagai satu lagi jiran Barat bagi Asia, meskipun Kerajaan Malaysia menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Victoria, Wellington. Namun demikian bahasa Melayu ada diajarkan di Universiti Auckland dan di Universiti Victoria, di samping di Kolej Rongitoto.
Sebagai hasil promosi bahasa Melayu oleh Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, di Australia, khususnya di Melbourne, Universiti Deakin telah memberikan kepercayaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Putra Malaysia mengendalikan kursus bahasa Melayu kepada pelajar-pelajarnya yang didatangkan ke Malaysia dalam tempoh sebulan setengah bermula pada penghujung tahun 2004. Kumpulan kedua pelajar Universiti Deakin yang dihantar ke Universiti Putra Malaysia mula mengikuti kursus pada 19 Disember 2005 untuk tempoh sebulan setengah.
Di negara-negara Asia Timur, bahasa Melayu mendapat tempat yang cukup membanggakan. Di Jepun, pada akhir tahun 1980-an ada lima buah institusi pendidikan tinggi yang mempunyai jurusan bahasa Indonesia, iaitu Universiti Pengajian Asing Osaka, Universiti Pengajian Asing Tokyo, Universiti Tenri, Universiti Kyoto Sangyu, dan Universiti Setsunan. Selain itu, ada sebelas universiti yang ikut mengajarkan bahasa Melayu walaupun tidak mempunyai jabatan khas bahasa Melayu, iaitu Universiti Kyoto, Universiti Takushoku, Universiti Nohon, Universiti Sophia, Universiti Ajia, Universiti Daitobunka, Universiti Senshu, Universiti Tokto, Universiti Tokyo Nogyo, Universiti Waseda, dan Universiti Pengajian Asing Kota Kobe
Di Republik Rakyat China, pengajian bahasa Melayu mencapai kemantapan di Universiti Peking, di Universiti Pengajian Asing Beijing dan di Universiti Komunikasi China (ketiga-tiganya di kota Beijing), di Universiti Pengajian Asing Guangdong (di Guangzhou), sementara Universiti Bangsa-bangsa Guangxi di kota Nanning telah memuakan program bahasa Melayu pada tahun 2008. Dalam perkembangan yang mutaakhir, Universiti Bangsa-bangsa di kota Kunming, Provinsi Yunnan akan meemulakan program bahasa Melayu pada tahun 2010 dan perancangan telah dimulakan sejak awal tahun 2009.
Pengiktirafan Kerajaan Malaysia kepada upaya pemerintah Republik Rakyat China dalam memajukan dan mengembangkan bahasa Melayu di tanah besar itu diterjemahkan dalam usaha penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Pengajian Asing Beijing, iaitu Kursi Pengajian Melayu yang ketiga sesudah Kursi di Universiti Leiden, Belanda dan di Universiti Victora, New Zealand. Pada awal tahun 2008 Kursi itu telah diisi dengan tumpuan kepada peluasan dan peningkatan program ilmiah pada peringkat sarjana muda dan pascasiswazah, penyelidikan, penerbitan, seminar dan pengembangan program bahasa Melayu di universiti-universiti lain di luar Beijing.
Demikian pula, di Korea Selatan bahasa Melayu diajarkan di Universiti Pengajian Asing Hankuk di Seoul dan di Universiti Pengajian Asing Busan di kota Busan. Dari Universiti Pengajian Asing Busan inilah munculnya sarjana pengagum dan peneliti sejarah tulisan Jawi, iaitu Kang Kyoung Seock. Di Asia Utara pula, iaitu di Rusia, pengajaran dan pengajian bahasa satu sastera Melayu sudah sekian lama bertapak di Moskow dan di Leninggrad.
Dengan agak meluasnya perhatian terhadap bahasa Melayu-Indonesia di pusat-pusat pengajian sedunia, maka memang amat relevan dibincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing. Meskipun matlamatnya masih lebih tertumpu pada minat ilmiah dan kebudayaan, dengan sedikit-sedikit pada peluang pekerjaan, perlu ada perencanaan yang rapi untuk memungkinkan pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing itu mencapai kesan yang sebaik-baiknya.
DBP pula dalam rangka mengisi agenda pengantarabangsaan bahasa Melayu telah mengambil langkah menubuhkan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dengan kelulusan Jemaah Menteri pada tahun 1997 dan memulakan operasinya dalam tahun 2000. Antara bidang yang ditangani termasuklah pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing. Di samping mengutus tenaga pengajar (seperti ke Republik Rakyat Cina, Korea, Eropah, Thailand, Kemboja dan sebagainya), usaha menyusun buku dan modul pengajaran bahasa Melayu kepada penutur asing telah dimulakan. Pada bulan Ogos dan September 2005, telah diadakan Kursus Bahasa Melayu untuk Munsyi Antarabangsa dengan pelibatan penatar bahasa Melayu dari Thailand, Kemboja dan Sri Lanka, iaitu penatar yang sebelumnya telah menerima kurus bahasa Melayu di negara masing-masing atas usaha DBP.
PERTIMBANGAN STRATEGI
Dalam kertas kerja ini, saya mengemukakan beberapa strategi yang praktis untuk memenuhi pengantarabangsaan dan keantarabangsaan bahasa Melayu, jika kita memang serius dalam agenda tersebut. Antara strategi tersebut termasuklah:
1. Strategi yang Berkaitan dengan Pembentukan Bahasa Melayu Supranasional
Memang sejarah tidak dapat diputar semula. Sejak kedatangan penjajah, bahasa Melayu di rantau ini mula melalui jalan sejarah yang berlainan. Secara beransur-ansur konsep bahasa Melayu persatuan yang terjelma dalam bahasa persuratan klasik berpencar menjadi beberapa jalur yang menandai kewujudan bahasa Melayu berjati diri kenegaraan. Bahasa Melayu di Malaysia, bahasa Melayu di Brunei Darussalam, dan bahasa Melayu di Indonesia masing-masing membentuk ciri-ciri khusus yang menandai situasi kenegaraan. Hal ini meskipun alamiah sifatnya dan tentu memberikan erti tertentu kepada kewujudan negara berdaulat, dalam konteks kesuburan saling faham dan pemantapan wilayah pengguna bahasa Melayu yang melampai batas negara tidak dapat tidak memerlukan perhatian yang saksama.
Memang bukan menjadi cita-cita pihak manapun dalam kalangan Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MABBIM) untuk mewujudkan satu bentuk bahasa Melayu yang mutlak seragam bagi semua negara berbahasa Melayu. Hal itu bukan sahaja tidak munasabah malah membentur kreativiti yang berlaku dalam bahasa Melayu di setiap negara berkenaan. Yang sesungguhnya diperlukan bukan bahasa yang mutlak seragam melainkan bahasa Melayu yang relatif seragam pada sistem asas setiap tingkat korpus bahasanya, dari tingkat sebutan hingga ke tingkat tatabahasa dan laras bahasanya. Inilah yang dimaksudkan dengan bahasa Melayu supranasional, iaitu bahasa Melayu yang dapat memaksimumkan darjah keadaan saling faham dalam kalangan pengguna bahasa Melayu di semua negara berbahasa Melayu dan juga di negara bukan berbahasa Melayu. Kewujudan bahasa Melayu supranasional ini dapat juga membantu upaya pengembangan bahasa dan persuratan Melayu di luar dunia Melayu, apabila pelajar dan pengkaji asing tidak terganggu oleh terlalu besarnya jurang perbedaan antara bahasa Melayu di negara-negara berbahasa Melayu, terutama varian bahasa Melayu di Malaysia dengan varian di Indonesia.dengan Upaya merealisasikan bahasa Melayu supranasional ini patut menjadi antara agenda dalam peluasan bidang kerja MABBIM, sesudah lebih 30 tahun menumpukan perhatian kepada aspek ejaan dan peristilahan. Paling tidak, kita perlu bermula dengan kajian dan penyenaraian unsur-unsur yang berbeda antara varian-varian utama bahasa Melayu itu untuk didedahkan kepada pengguna bahasa supaya wujud keadaan saling faham yang tinggi sesama pengguna bahasa Melayu di negara yang berlainan dan juga untuk difahami oleh pelajar serta peneliti asing.
Prof. Abdullah Hassan (1998) dalam perinciannya tentang upaya mempromosikan bahasa Melayu supranasional (yang diistilahkannya sebagai dialek Melayu supra) menekankan pentingnya pembinaan wilayah Melayu besar dalam konteks membentuk kekuatan tamadun Melayu di wilayah Asia-Pasifik dalam alaf baharu. Kekuatan tamadun Melayu, di sisi terletak pada jumlah hampir 300 juta umatnya, kata Abdullah Hassan, terletak pada potensi pemikiran bangsanya. Bahasa Melayu supranasional merupakan wahana asas untuk membina pemikiran kolektif umat yang menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupannya. Selain itu, kewujudan bahasa Melayu supranasional dapat memungkinkan pemanfaatan kekayaan gagasan yang terhimpun dalam kepustakaan berbahasa Melayu oleh seluruh umat Melayu. Hal ini akan memberikan kesan langsung kepada pengayaan minda umat Melayu untuk terus berkreativiti dan sekaligus meningkatkan tamadun.
Perlu difikirkan hipotesis Abdullah Hassan tentang adanya pertalian yang signifikan antara penggunaan bahasa sendiri dengan kreativiti bangsa itu. Bangsa yang menggunakan bahasanya sendiri dalam pembinaan tamadunnya mampu berkreativiti tinggi. Ia mengambil bangsa Jepun sebagai contoh unggul yang mampu menghasilkan pelbagai produk, dengan pengembangan minda melalui bahasa sendiri. Sebaliknya bangsa yang tertawan oleh bahasa asing dalam kehidupannya menjadi lesu dalam kreativitinya. Ia mengambil contoh bagaimana bangsa India yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengucapan intelektualnya gagal memamerkan kreativiti yang gemilang berbanding dengan bangsa Jepun. Dalam hubungannya dengan bahasa supranasional, kekayaan pemikiran bangsa akan lebih terarah melalui penggunaan bahasa yang mempunyai ciri kolektif yang besar.
Aspek lain yang penting ialah kosa kata. Selama ini MABBIM telah berhasil menyelaraskan pedoman pembentukan kosa kata khusus, iatu istilah. Sebagai peluasannya, perhatian patut diberikan juga kepada penggunaan kosa kata umum. Oleh sebab kosa kata umum banyak dipengaruhi oleh latar sosiobudaya masing-masing pengguna bahasa Melayu menurut daerah, negeri, dan negara, maka penyelarasan daripada segi penyusunan kamus antara negara berbahasa Melayu cukup penting. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam menerbitkan Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2004) yang menjelaskan varian bahasa Melayu Malaysia, Indonesia dan Brunei merupakan usaha permulaan yang besar manfaatnya dan dapat dijadikan titik tolak pembentukan bahasa Melayu supranasional dalam aspek kosa kata. Adanya kamus seumpama itu pasti dapat meningkatkan darjah saling faham antara pengguna bahasa Melayu di ketiga-tiga buah negara induk wilayah bahasa Melayu itu dan besar manfaatnya kepada pelajar dan peneliti asing.
Di samping kamus, perlu diperbanyak persuratan yang memerikan ciri-ciri sosiobudaya yang melatari kosa kata umum bagi pelbagai ranah kehidupan umat Melayu di negara yang berlainan. Kesemua upaya itu bukan sahaja dapat meningkatkan darjah saling faham antara pengguna bahasa Melayu di negeri yang berlainan bahkan sekaligus dapat saling memperkaya kosa kata bagi bahasa Melayu, sehingga keperluan menyerapkan kata daripada bahasa asing menjadi minimal.
2. Strategi yang Berkaitan dengan Upaya Memperkaya Khazanah Ilmu Bahasa Melayu
Kerja penghasilan karya ilmu yang selama ini dilakukan secara sendiri-sendiri memerlukan perubahan strategi andaikata kita ingin menyaksikan terhasilnya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu secara besar-besaran. Penggemblengan tenaga karyawan ilmu dalam pelbagai bidang dari semua negara berbahasa Melayu perlu diusahakan. Perlu ada perencanaan yang rapi untuk mengenal pasti bidang-bidang ilmu yang sudah agak “kaya” khazanahnya dan bidang-bidang yang masih muda dan justeru memerlukan perhatian yang lebih besar. Demikian pula, perlu dikenal pasti bidang-bidang ilmu yang sangat mendesak keperluannya bagi pembangunan umat Melayu, katakan sahaja bidang teknologi maklumat sebagai contoh. Dengan prasarana yang sedia ada dan dengan pengalaman kerjasama yang cukup erat sejak hampir tiga dekad (sejak tahun 1972), MABBIM memiliki kekuatan untuk menangani tugas memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu dengan cekap dan produktif, baik melalui penghasilan karya asli, terjemahan, mahupun adaptasi. Kejayaan Indonesia menggerakkan penghasilan kerja terjemahan yang cepat dalam pelbagai disiplin ilmu perlu dipelajari oleh negara kita, khususnya oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM).
3. Strategi yang Berkaitan dengan Kerjasama dalam Penyelidikan dan Penerbitan Bahasa
Secara kasar, Projek Penyusunan Sejarah Bahasa Melayu mencakup tiga bidang utama, iaitu sejarah struktur bahasa Melayu, sejarah sosial bahasa Melayu, dan sejarah kajian bahasa Melayu. Dalam yang pertama itu termasuklah kajian rekonstruksi bahasa Melayu induk, struktur bahasa Melayu kuno pada prasasti, struktur bahasa Melayu klasik, struktur bahasa Melayu peralihan, dan struktur bahasa Melayu baharu. Dalam yang kedua pula termasuklah perkembangan dialek, laras atau variasi dari zaman ke zaman. Yang ketiga pula meliputi pendokumentasian perkembangan kajian ilmiah tentang segala aspek bahasa Melayu dari zaman ke zaman. Kesemuanya itu jelas hanya dapat ditangani dengan penggemblengan tenaga seluruh ahli ilmu yang terlibat dengan bahasa Melayu, secara cukup terencana dan berjadual. Dalam konteks inilah MABBIM dapat berperanan besar dengan meluaskan cakupan bidang kerjanya.
Selain itu, projek-projek yang terbukti cukup berkesan dalam memaparkan sejarah dan perkembangan semasa bahasa, persuratan dan budaya Melayu, seperti yang telah digerakkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sejak tahun 2000, iaitu Jejak Bahasa (dengan kerjasama TV3) dan Semarak Bahasa (dengan kerjasama RTM) perlu diteruskan, dengan menggarap kawasan-kawasan komuniti bahasa Melayu di seluruh dunia.
Dalam bidang penerbitan, perlu diupayakan penyelarasan dalam pembinaan judul penerbitan menurut keperluan dan kepentingan dalam bidang bahasa, sastera, budaya, sejarah, agama dan bidang lain untuk kegunaan pengajian di peringkat antarabangsa. Saya mengimpikan siri penerbitan hasil kajian dan karya besar kesarjanaan sebagaimana yang pernah diusahakan oleh Institut Antarabangsa Kajian Asia, Belanda dengan Pusat Bahasa Indonesia dalam siri ILDEP (Indonesian Linguistics Development Project) yang menampilkan karya-karya penting dan hasil kajian tentang bahasa dan persuratan Indonesia. Melalui siri penerbitan seumpama itu, dapat dirancang dan diusahakan penerbitan segala hasil kajian penting tentang alam Melayu untuk disebarluaskan ke peringkat antarabangsa. Yang tidak kurang pentingnya ialah penerbitan bahan-bahan ajar bahasa Melayu untuk keperluan penutur asing, termasuk kamus terperingkat.
4. Strategi Pengantarabangsaan Bahasa Melayu melalui Badan Penyelaras - Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM)
Fungsi pembinaan bahasa yang dilaksanakan oleh MABM mencakup aspek penyelidikan bersama dengan pelbagai institusi dan agensi dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu, termasuk usaha penterjemahan dan penerbitan dalam bahasa Melayu. Fungsi pengembangannya pula meliputi program pengajaran dan pemelajaran di pusat-pusat pengajian atau badan akademik, institusi penyelidikan dan budaya antarabangsa serta mewujudkan kerjasama kebahasaan dan persuratan Melayu di seluruh dunia melalui pelbagai program pengembangan.
Majlis yang menurut rancangan kerjanya bersidang mengikut jadual tertentu ini perlu mengatur dan menyelaraskan pelbagai program dan aktiviti untuk mengisi dan menyokong rancangan pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Jawatankuasa khusus (jawatankuasa kecil) perlu bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali setahun untuk mengatur strategi pelaksanaan program/aktiviti dalam bidang kuasa masing-masing. Antara aktiviti yang perlu diselaraskan termasuklah:
Keanggotaan Majlis ini terbahagi kepada tiga kategori, iaitu Anggota Majlis, Anggota Pemerhati dan Anggota Undangan. Anggota Majlis merupakan tokoh bahasa Melayu atau tokoh pengajian Melayu atau sarjana yang berwibawa dari pusat pengajian atau penyelidikan mana-mana negara yang dilantik oleh Menteri Pendidikan Malaysia. Pelantikan ahli Majlis berlaku sekurang-kurangnya satu penggal atau tiga tahun; keanggotaannya boleh disambung dengan pelantikan baru, tetapi tidak melebihi dua penggal berturut-turut, yakni 6 tahun. Anggota Majlis mempunyai hak mengundi.
Anggota pemerhati pula dilantik sebagai pemerhati mewakili institusi masing-masing. Anggota pemerhati tidak mempunyai hak mengundi. Walau bagaimanapun, mereka boleh memberikan pandangan dalam sidang.
Anggota undangan ialah orang perseorangan atau wakil institusi yang diundang oleh Majlis atau Urus Setia untuk hadir dalam sidang tertentu berasaskan kepakaran atau kepentingan Majlis. Sekretariat tetap Majlis ini ialah Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dalam Sidang Pertama MABM pada 21 – 23 Ogos 2000, 20 buah negara telah menghantar wakil yang terdiri daripada anggota Majlis dan juga pemerhati. Negara tersebut ialah Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, India, Indonesia, Jepun, Jerman, Kemboja, Korea Selatan, Malagasi, New Zealand, Rusia, Sri Lanka, Singapura, Tanzania, Thailand, dan United Kingdom, di samping Malaysia sebagai tuan rumah sidang. Setiap wakil negara telah membentangkan laporan perkembangan pengajian Melayu atau pengajaran bahasa Melayu di negara-negara masing-masing. Bagi negara yang belum mengadakan program bahasa atau pengajian Melayu, seperti Afrika Selatan dan India, telah dibentangkan rancangan ke arah itu.
Pada akhir sidang, 6 kelompok usul telah dikemukakan, iaitu yang berkaitan dengan aspek pengurusan, program penggalakan, pengajaran dan penataran, program pengajian Melayu, kerjasama antara negara anggota dan dukungan kewangan. Antaranya, yang penting ialah:
Pengurusan dan Pentadbiran:
Program/Aktiviti Penggalakan
Pengajaran/Penataran Bahasa Melayu
Program Pengajian Melayu
Dukungan Kewangan |




